Badut-badut Politik Harapan


Jumaat lalu, pimpinan Pakatan Harapan berbondong-bon­dong mendatangi pejabat Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS) di Putrajaya. Tujuan yang tersurat hanya satu iaitu menghantar permohonan pendaftaran gabungan itu.

Di situ ada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan. Ada Penger­usi, Tun Dr. Mahathir Mohamad (PPBM) bersama Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR). Yang juga hadir ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu (PAN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM) selain Naib Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM).

Barangkali inilah barisan badut-badut politik yang disebut oleh generasi Y dalam Forum Mahathir Ejen Perubahan atau Ejen Pemusnah di Bangsar tiga hari sebelum pimpinan Pakatan Harapan ini berkampung di pejabat ROS.

Para strategis Pakatan Harapan nampaknya begitu terdesak, sehinggakan perlu mengheret Pengerusi dan Presiden serta gerombolan kepemimpinan tertinggi hanya untuk membuat urusan mendaftarkan parti.

Kalau diikut cukuplah sekadar menghantar Ketua Setiausaha gabu­ngan itu, Datuk Saifuddin Abdullah (PKR) yang ada penga­laman dalam kerajaan semasa dalam UMNO dahulu, Bukan susah pun.

Hal-hal sebeginilah yang menghantui generasi Y mahupun generasi reformasi, yang sebelum ini tegar bersama pakatan pembangkang. Hal lebih mendasar yang menyebabkan mereka berpaling daripada memberikan harapan kepada pakatan baharu ini ialah kehadiran Dr. Mahathir.

Sejak sekian lama, pada setiap detik mereka telah diasuh untuk membenci pemimpin dilabel diktator ini. Bagaimana mungkin dapat mengubah min­da yang sudah ditanam dengan kebencian sebegitu rupa. Bagai­mana mungkin dapat menerima hakikat ‘bapa segala kejahatan’ itu kini perlu dijulang sebagai pemimpin mereka.

Kebanyakan kumpulan yang mengangkat pakatan pembang­kang sebelum ini bukan politikus. Mereka idealis yang berpegang kepada kata-kata azimat dan janji pem­baharuan oleh pemimpin pem­bangkang. Kini, semua itu ternyata hanyalah kepalsuan.

Wajarlah jika mereka menyua­rakan rasa penat dengan politik air liur yang dipertontonkan pim­pinan pakatan. Strategi menya­sarkan serangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidaklah mudah. Najib rupa-rupanya bukan sasaran ra­puh seperti yang mereka jangka.

KETANDUSAN

Kekuatan pembangkang yang sela­lu dikaitkan dengan anak mu­da semakin luntur. Di sebalik cabaran ekonomi, pentadbiran Najib telah memberikan bukti yang nyata seperti diharapkan rakyat.

Sistem pengangkutan Aliran Transit Massa (MRT) dan ban­tu­an BR1M sebagai contoh ada­lah realiti pentadbiran BN tidak se­perti yang pembangkang gembar-gem­burkan. Kebenaran itu akhir­nya muncul satu persatu.

Kini, Pakatan Harapan tidak mam­pu lagi berundur atau membuat pusingan U mahupun menarik brek bah­kan berundur atau membuat pusi­ngan U. Dalam semangat yang masih membara bahawa ‘satu titik i Mahathir pun tidak boleh diper­cayai’, Pakatan Harapan terpaksa digerakkan, apakan daya.

Apa jua cara mesti dilakukan. MRT yang menjadi kebanggaan nega­ra mahupun BR1M yang ba­nyak memberi manfaat terpak­sa diserang habis-habisan. Tanpa sedar, ini semua telah menjadi boomerang, terkena batang hidung sendiri.

Dalam masa sama, tidak ba­nyak ‘wow’ yang dilakukan oleh pem­bangkang sama ada di Selangor mahupun Pulau Pinang. Yang banyaknya hanya gimik, ceramah air liur yang tidak berpijak di bumi nyata.

Sama juga semasa mereka beramai-ramai mendatangi peja­bat ROS. Gimik lapuk seperti itu bagi pemimpin Pakatan Harapan masih penting dan laku di pasaran. Sepatutnya dengan wajah yang baharu, Pakatan Harapan bergerak dengan macho dan seksi. Barangkali mereka sendiri sudah ketandusan gimik untuk men­­dabik dada betapa gagahnya Pakatan Harapan sekarang. Baru ada satu logo dan satu perlembagaan pun sudah bangga sehabis gila.

Dr. Mahathir dalam sidang medianya turut memuji ROS sebagai pihak yang bersahabat. Tidaklah seperti yang mereka gembar-gemburkan sebelumnya bahawa ROS akan menyusahkan bahkan bakal menggagalkan pendaftaran Pakatan Harapan. Tidaklah sebagaimana sikap DAP yang memusuhi ROS hanya kerana ketegasan jabatan tersebut membatalkan pemilihan pimpinan parti berlambang roket itu. Apa yang tidak dikata oleh DAP - ROS bersikap pelik dan ROS sabotaj DAP.

Begitulah apabila ada agensi kerajaan yang tidak menyebelahi mereka. Jika memihak, semua dikata baik dan mulus. Jika sebaliknya, dakwaan yang popular ialah menjadi alat kerajaan BN.

Apa lagi gimik yang mungkin dilakonkan oleh badut-badut harapan ini? Mereka kini berada dalam keadaan serba salah. Kehadiran Dr. Mahathir yang digunakan bagi mewujudkan gelombang ‘tsunami Melayu’ ditentang oleh aktivis parti pembangkang sendiri.

Begitupun Pakatan Harapan tiada jalan lain seperti kata pepatah, maju kena undur pun kena. Dr. Mahathir akan kekal dengan karakter seperti itu. Walaupun sebesar mana tentangan dari dalam, Pakatan Harapan terpaksa digerakkan dalam wadah yang sudah tercemar itu.

Mungkinkah badut-badut harapan ini akan berjaya mem­pengaruhi khalayak umum? Setakat ini jawapannya tidak.

Strategis Pakatan Harapan nampaknya begitu terdesak, sehinggakan perlu mengheret Pengerusi dan Presiden serta gerombolan kepemimpinan tertinggi hanya untuk membuat urusan mendaftarkan parti.


Sumber : Utusan Online

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Dan Latar Belakang Daerah Jerantut

Sejarah Ringkas Asal-usul Kesultanan Pahang

GhuangZhou Haramkan Matawang Kripto