KHUTBAH RAYA AIDILADHA BERUNSUR FITNAH


PASIR MAS - Kepimpinan Parti Amanah Kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas membuat laporan polis berhubung teks khutbah Hari Raya Aidiladha minggu lalu yang didakwa memfitnah Kerajaan PH menyokong kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Laporan polis itu dibuat oleh wakilnya Mohd Ridzuan Mohamad

di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini yang turut disertai oleh 20 penyokong parti berkenaan.

Mohd Ridzuan berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung teks khutbah yang dikeluarkan oleh Dewan Ulama Pas.

"Khutbah tersebut berbunyi: apa yang menjadi kebimbangan kita pada hari ini munculnya suara-suara sumbang daripada pelbagai pihak termasuk pimpinan negara beragama Islam yang semakin berani mencabar ketuanan Islam di negara ini.

"Teks tersebut juga menyebut keterlibatan dalam aktiviti hubungan sejenis yang songsang atau menukar jantina sama lelaki kepada perempuan atau sebaliknya yang ditegah oleh Islam, sepatutnya diambil tindakan tegas oleh pihak kerajaan dan bukan semakin melayan atau memenuhi tuntutan mereka (LGBT)," katanya.

Menurutnya, kenyataan itu dapat dilihat dalam kandungan teks khutbah pada muka surat tujuh dan perenggan ketiga serta keempat.

Katanya, kenyataan khutbah itu sama sekali tidak benar dan Kerajaan PH tidak pernah memberi muka atau mengiktiraf golongan LGBT.

"Kenyataan ini boleh disiasat bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, pihaknya kesal Dewan Ulama Pas Kelantan yang sanggup mengeluarkan kenyataan fitnah tersebut.

Katanya, situasi itu jelas bertentangan dengan status ulamak yang cukup dipandang tinggi oleh masyarakat.

"Bila isu LGBT ditimbulkan beberapa kali Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Muhajid Yusoff telah menafikan kerajaan memberi muka kepada golongan berkenaan.

"Kerajaan PH tidak mengiktiraf golongan berkenaan dan itu adalah keterangan jelas dari menteri," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, serangan ini didakwa bertujuan untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Kerajaan PH.

Difahamkan teks khutbah tersebut diedarkan ke seluruh madrasah dan masjid di negeri ini sempena sambutan hari Aidiladha pada minggu lalu.


Sumber : Sinar Harian




Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Dan Latar Belakang Daerah Jerantut

Sejarah Ringkas Asal-usul Kesultanan Pahang

BAGAIMANA MENGENALI SEORANG PEMUJA WAHHABI ?